PROJEK Perkhidmatan 1BestariNet yang kini memasuki fasa kedua, memberi keutamaan bagi membolehkan sekolah memperoleh akses Internet yang lebih stabil dengan kelajuan optimum dengan menaik taraf perkhidmatan jalur lebar sedia ada kepada rangkaian Internet 4G.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P. Kamalanathan berkata, menerusi fasa kedua yang bermula sejak Julai lalu, 1,549 buah sekolah di seluruh negara akan dilengkapi kemudahan rangkaian Internet 4G, iaitu 901 sekolah di Semenanjung dan Sabah serta 648 sekolah di Sarawak.
Beliau menambah, sebanyak 8,185 sekolah yang telah memiliki perkhidmatan jalur lebar Internet 4G dalam fasa pertama, juga akan dipertingkatkan.
“Kapasiti jalur lebar ditingkatkan mengikut tiga jenis sekolah iaitu sekolah yang mempunyai sebuah makmal mendapat 6 megabit sesaat (Mbps), dua makmal memperoleh 10 Mbps manakala tiga makmal pula mendapat 15 Mbps.
“Dengan fasa kedua ini kita dapat mengatasi isu kelajuan yang merupakan salah satu masalah yang diketengahkan sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Leaps of Knowledge, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Yang turut hadir Pengarah Eksekutif FrogAsia Sdn. Bhd, Lou Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Sdn. Bhd., Wing K. Lee.
1BestariNet adalah inisiatif Kementerian Pendidikan bagi menggantikan dan menambah baik sistem rangkaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah dengan pelaksanaan fasa pertamanya bermula 2011 membabitkan peruntukan RM663 juta.
Projek selama 15 tahun yang dikendalikan oleh YTL Communications ini mempunyai tiga fasa dengan kos keseluruhan RM4.077 bilion.
Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata, bagi mempromosikan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) Frog, sebanyak 1,973 sekolah telah dirangkaikan dengan teknologi terkini dan peranti ICT yang serasi.
“Seramai 1,200 jurulatih akan ditugaskan oleh kementerian Pendidikan untuk melatih guru-guru mengoptimumkan penggunaan Frog VLE sebagai langkah memperkasakan warga pendidik dengan kemahiran berkaitan selain membolehkan mereka membangunkan sendiri kandungan pembelajaran,” katanya.
Malah, katanya, projek 1BestariNet berjaya menarik perhatian antarabangsa termasuk Google, Microsoft dan Kementerian Pendidikan Finland yangmemuji Malaysia dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar di semua sekolah termasuk di kawasan bandar bagi mewujudkan pendidikan bertaraf sama dan saksama.
Sumber : Utusan http://buff.ly/2gJqCVJ
Gambar : utusan.com.my