CYBERJAYA – Universiti Limkokwing dan Kumpulan Utusan hari ini menerima 40 pelajar baharu yang ditawarkan biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di universiti tersebut.
Naib Presiden Bahagian Perhubungan Korporat Universiti Limkokwing, Datuk Fajura Juffa Mohd. Mustafa Kamal berkata, 40 pelajar itu merupakan kumpulan pelajar tahun kedua yang ditawarkan biasiswa untuk program kerjasama Kumpulan Utusan dan Universiti Limkokwing.
Menurutnya, kesemua pelajar tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar sijil kemahiran, kursus asas, diploma dan ijazah sarjana muda yang ditawarkan bagi kemasukan bulan April.
“Kita masih membuka tawaran tersebut untuk kemasukan bulan Julai. Setiap tahun kita menawarkan 100 tempat kepada semua warga tempatan, termasuk mereka yang sedang menuntut di Universiti Limkokwing.
“Penilaian bagi pemilihan pelajar dibuat berdasarkan beberapa syarat tertentu antaranya, pencapaian dalam akademik dan minat dalam bidang yang berpotensi,” katanya selepas majlis suai kenal pelajar baharu di sini hari ini.
Pengurus Besar di Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Azlan Naim Abdullah berkata, pemberian biasiswa berkenaan merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan Utusan dan dijalankan dengan kerjasama Universiti Limkokwing.
Katanya, biasiswa itu bertujuan menyediakan peluang pembelajaran kepada pelajar yang tidak dapat meneruskan pengajian di universiti awam dan juga mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.
Antara pelajar-pelajar yang ditawarkan melanjutkan pengajian di bawah biasiswa itu adalah Muhammad Danish Mustadza, 20, yang mengikuti kursus Diploma Komunikasi Massa.
Beliau adalah antara pelajar sedia ada di Universiti Limkokwing yang terpilih menyambung pengajian di bawah program Biasiswa Kumpulan Utusan dan Universiti Limkokwing.
Bagi pelajar, G. Dharshini, 23, beliau ditawarkan biasiswa bagi kursus asas sehingga lanjutan Ijazah Sarjana Muda dalam pengajian senibina.
Seorang lagi pelajar, Sean Chua Bo Qian, 21, yang berasal dari Batu Pahat, Johor telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Majlis selama tiga tahun.
Turut ditawarkan pemberian biasiswa adalah Nurshafrina Adlin Shaiful Bakhri, 18, yang melanjutkan pengajian dalam kursus asas reka bentuk selama setahun.
Maklumat lanjut berkenaan kursus pengajian yang ditawarkan serta borang permohonan boleh didapati di laman web www.utusan.com.my/biasiswa dan juga diiklankan di akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!.
Sumber : Utusan http://bit.ly/2o0dI7Q
Gambar : utusan.com.my