KUALA TERENGGANU – Lima buah universiti awam dipilih bagi merintis program Dua Universiti + Dua Industri (2U2I) yang bakal menawarkan program pengajian peringkat ijazah sarjana muda bermula pengambilan September ini.
Lima universiti berkenaan ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah itu bagi membolehkan pelajar mengikuti program belajar sambil bekerja dan mereka dikehendaki menempuh pengajian selama dua tahun di universiti dan dua tahun menimba pengalaman dalam industri.
Beliau yakin lebih banyak universiti tempatan akan turut mengambil inisiatif serupa pada tahun depan bagi menyemarakkan lagi program 2U2I dalam usaha meningkatkan lagi kebolehpasaran bakal siswazah.
“Menerusi program 2U2I ini, kita yakin kira-kira 80 peratus graduan yang dilahirkan akan memenuhi pasaran pekerjaan terutama dalam sektor industri,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Program 2U2I di Dewan Perdana Unisza, Kampus Gong Badak dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat; Pengerusi Lembaga Pengarah Unisza, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom; Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail dan Naib Canselor Unisza, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif.
Idris mengulas lanjut, pelaksanaan program 2U2I di lima buah universiti awam itu adalah satu permulaan sebelum diperluaskan ke universiti lain secara berperingkat-peringkat.
Menurut beliau, bagi Unisza, kursus yang ditawarkan adalah Ijazah Sarjana Muda Produksi dan Kesihatan Haiwan manakala di UTM dalam bidang sains komputer, UTM (pengurusan perladangan) dan UMK (bidang keusahawanan).
Idris menarik perhatian, program 2U2I adalah antara lima langkah progresif yang dilaksanakan dalam memastikan bakal siswazah mampu memperoleh pekerjaan sejurus tamat pengajian.
Dalam majlis itu, Idris turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Unisza dengan lima penggiat industri iaitu Yun Fook Resources Sdn. Bhd., Hijau Akuatik Enterprise, Kelab Endurance Darul Aman, Terengganu Equestrian Resort dan Touch Milk Sdn. Bhd.
Sumber: Utusan Online