SERAMAI 30 pelajar dan guru dari tujuh sekolah di Johor menimba pengalaman belajar di luar bilik darjah apabila berpeluang menyertai Program Rakan Saintis Sungai (RSS) anjuran Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) di Taman Hutan Legenda di Taman Negara Gunung Ledang, Tangkak, baru-baru ini.

Program tiga hari dua malam itu bertujuan membina pengalaman dan ilmu di luar bilik darjah menerusi kaedah pembelajaran serta pengajaran bersama alam semula jadi.

Pengarah Urusan Kumpulan CCM Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, program pembelajaran dikelilingi kehijauan flora dan fauna dapat membantu pelajar mengenali peranan alam semula jadi.

Ia juga diharap dapat meningkatkan kesedaran manusia untuk melindungi dan memelihara sumber air bersih.

“Program ini mampu memberi pengalaman pembelajaran bermakna kepada pelajar kerana mereka dapat meneroka alam semula jadi dan melihat sendiri kesan buruk pencemaran.

“Apabila pelajar lebih mendekati alam semula jadi, mereka akan mengambil berat menjaga kepentingannya.

“Kami harap dapat menyemai kesedaran dan sikap bertanggungjawab pelajar menerusi program ini,” katanya.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor itu memberi pendekatan kepada pelajar melalui teori dan latihan.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk berjalan menyusuri hutan, ceramah alam sekitar, analisis dan eksperimen kualiti air selain membantu pelajar memahami ekologi sungai dan proses rawatan dan pembersihan air.

Pada akhir program, pelajar dipecahkan ke dalam beberapa kumpulan untuk membuat pembentangan mengenai aktiviti dipelajari.

Turut hadir Ketua Pegawai Pengilangan Kimia CCM Mukri Harun, Pengarah JAS Datuk Mohammad Ezanni dan Timbalan Ketua Pengarah JAS Johor Rosli Osman.

RSS CCM membabitkan sekolah di Perlis, Sabah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Sejak diperkenalkan pada 2010, program ini disertai lebih 1,500 pelajar. 

 

 

 

 

Sumber : Metro              http://buff.ly/2dHKdlg

Gambar : hmetro.com.my

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *