Bukit Mertajam: Tiga tahun menghidap kanser tulang tahap empat, namun kecekalan seorang remaja melawan penyakitnya itu membuatkan dia kini mampu bersekolah walaupun terpaksa berkerusi roda.

Fazril Hakimi Ahmad, 13, anak bongsu daripada empat beradik sebelum ini terpaksa ‘ponteng sekolah’ selama dua tahun selepas menghidap kanser tulang pada awal bulan Januari 2014, namun kini dia sudah menunjukkan perubahan dan mampu ke sekolah menggunakan kerusi roda.

Kecekalannya melawan kanser itu turut dibantu dengan pengorbanan keluarga terutama bapanya, Ahmad Shaari, 53, yang sanggup berhabis wang simpanan semata-mata mahu memastikan Fazril Hakimi pulih daripada penyakitnya itu.

Fazril Hakimi mendapat rawatan di Wad Pediatrik Hospital Pulau Pinang (HPP) selama dua tahun, sekali gus tidak dapat bersekolah pada 2014 dan 2015 iaitu ketika berada di tahun empat dan lima.

Menurutnya, sebelum Fazril Hakimi disahkan menghidap kanser tulang, dia dan isteri sudah menyedari berlaku perubahan terhadap tubuh badan anak mereka itu yang tidak membesar dan menjadi susut.

“Setiap kali hendak tidur ketika malam, dia sering meronta kesakitan terutama pada bahagian lutut kaki kirinya hinggalah ia mula membengkak dan terpaksa menjalani pembedahan di bahagian kaki kirinya sebanyak empat kali bermula 2015 sehingga April lalu selain menjalani kimoterapi hampir 20 kali.

“Ketika itu, kami tertekan dan buntu apabila perlu menyediakan kos RM42,000 untuk membeli sebatang besi bagi menggantikan tulang paha dari bahagian atas hingga bawah lutut di kaki kirinya yang dikeluarkan pada pembedahan pertama pada 2015,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Dia berkata, Allah SWT mendengar doa dan rintihannya apabila sebuah kelab motosikal berkuasa tinggi prihatin dengan nasib anaknya dan menyalurkan sumbangan RM35,000 selain menerima bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) RM5,000 serta sedikit simpanannya RM2,000, sekali gus dapat melakukan pembedahan terbabit.

Sumber: myMetro

Leave a comment

Your email address will not be published.