PULAU PINANG – Biarpun terpaksa menduduki peperiksaan di katil hospital, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Green Lane di sini tetap berjaya meraih keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Nur Faziana Abdul Ghafar berkata, dia terpaksa menduduki peperiksaan itu seorang diri di hospital selepas disyaki dijangkiti virus influenza A H1N1.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk melakukan yang terbaik sekali gus mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.
“Walaupun berada di hospital saya tidak mengalah dan Alhamdulillah berkat usaha dan restu ibu bapa, saya berjaya mendapatkan A untuk semua enam kertas peperiksaan yang diduduki,” katanya ketika ditemui di SK Convent Green Lane di sini baru-baru ini.
Lebih manis, kejayaan Nur Faziana itu turut mendapat kejutan daripada ayahnya yang menghadiahkan pakej pelancongan ke Eropah selama 12 hari.
Terdahulu dalam majlis pen gumuman keputusan UPSR dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) 2016 peringkat negeri, Timbalan Pengarah Pendidikannya, Mohd. Jamil Mohamed berkata, seramai 399 calon di negeri ini berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan semua A bagi setiap mata pelajaran.
Menurutnya, keputusan itu adalah membanggakan memandangkan seramai 15,752 murid daripada keseluruhan 22,215 calon UPSR 2016 di negeri ini berjaya mencapai tahap lulus minimum sekurang-kurangnya gred C dan D.
“Tahun ini, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perempuan Cina di daerah Timur Laut diumumkan sebagai sekolah terbaik UPSR manakala empat sekolah lain berjaya mencapai 100 peratus kelulusan dalam peperiksaan berkenaan,” katanya.
Sumber : Utusan http://buff.ly/2ggr9g2
Gambar : utusan.com.my