JERANTUT: Inisiatif Jabatan Pendidikan negeri dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tahan, dekat sini, memperkenalkan program ‘Chup Badui Sikulah’ atau ‘Moh Pegi Sekolah’ sejak minggu lalu dapat menarik perhatian 53 murid dari suku kaum Batik menghadiri sesi persekolahan.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata program itu dilihat sangat berkesan memandangkan kebanyakan suku kaum Batik sering berpindah sehingga menjejaskan anak mereka mengikuti sesi pembelajaran di sekolah masing-masing.
“Ini adalah antara usaha yang baik daripada pihak Jabatan Pendidikan negeri dan juga sekolah, …kita dapat lihat reaksi positif daripada ibu bapa murid yang bersemangat melihat anak mereka datang ke sekolah.
“Seperti yang kita sedia maklum, mereka (Orang Asli) ini suka hidup berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain dan saya dimaklumkan, sejak pihak sekolah memperkenalkan program ini, sambutan mereka (murid-murid) sangat baik,” katanya selepas perasmian program itu di SK Kuala Tahan, di sini, pagi tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah (Bahagian Pengurusan Sekolah Harian) Kementerian Pendidikan Malaysia, Pesol Mohd Saad dan Senator Dewan Negara, Datuk Isa Abdul Hamid.
Ahmad Nazlan berkata, semua murid berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu diletakkan di kelas khas dengan jadual waktu fleksibal, termasuk waktu datang ke sekolah iaitu jam 8.30 pagi.
Katanya, usaha awal itu dapat mengatasi masalah keciciran golongan itu, sekali gus dapat menepis tohmahan bahawa kerajaan mengabaikan akses pendidikan kepada golongan minoriti itu.
Sementara itu, Tok Batin Sena Selama, berkata usaha ini dapat memberi peluang kepada kanak-kanak Orang Asli bergaul dengan masyarakat lain sambil menimba ilmu.
Sumber: BHOnline