KUALA LUMPUR – Tugas seorang guru bukannya mudah, lebih-lebih lagi apabila golongan tersebut diamanahkan untuk mendidik murid-murid orang kurang upaya (OKU) catat penglihatan.
Demi memastikan anak didiknya berjaya, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu di sini mengambil inisiatif menghasilkan buku mengenal abjad untuk tahun satu dan nota ringkas mata pelajaran Sains untuk murid tahun enam dalam tulisan Braille.
Nor Wahida Abu Bakar, 36, membuktikan tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi mereka juga perlu memikul tanggungjawab membimbing anak didiknya agar menjadi insan yang berjaya.
“Bahan bacaan Braille agak terhad, oleh itu saya dengan bantuan guru yang lain menghasilkan buku tersebut dan ternyata bahan bacaan itu banyak membantu melancarkan proses pembelajaran.
“Sebagai contoh murid yang cacat penglihatan sukar mendapatkan nota ringkas dalam tulisan Braille, oleh itu kami hasilkan nota ringkas untuk membantu mereka. Buat masa ini kita sudah menghasilkan nota ringkas bagi subjek Sains dan kini menyediakan formula bagi subjek Matematik dalam tulisan Braille,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut di sini hari ini.
Jelasnya, walaupun memiliki ijazah dalam pendidikan khas, namun dia tidak menguasai tulisan Braille kerana lebih memberikan tumpuan kepada penggunaan bahasa isyarat, malah pernah mengajar murid yang mengalami masalah pendengaran.
“Saya mula berkhidmat di sekolah ini pada 2014 dan pada awalnya menghadapi masalah untuk berinteraksi dengan murid apabila mereka tidak memahami apa yang cuba saya sampaikan.
“Ketika itu saya agak tertekan, saya cuba mencari jalan dan sedar akan tanggungjawab mendidik mereka. Jika saya putus asa bagaimana nasib murid-murid ini, pastinya mereka akan gagal sekiranya mendapat guru yang tidak mampu mendidik mereka dengan baik,” katanya.
Nor Wahida berkata, dia sentiasa menggalakkan murid-muridnya membaca buku cerita iaitu sebagai salah satu usaha membantu mereka meningkatkan pencapaian dalam pembacaan tulisan Braille.
“Syukur usaha itu berbaloi apabila salah seorang pelajar saya iaitu Nik Muhamad Ahnaf Rujhiee Raja Anuar, 12, dipilih sebagai pemenang bagi kategori masalah penglihatan (lelaki) dalam Anugerah Nilam peringkat Kebangsaan baru-baru ini. Kejayaannya jelas membuktikan murid OKU penglihatan juga boleh memenangi anugerah tersebut walaupun hanya membaca menggunakan tulisan Braille,” katanya.
Tambahnya, Nik Muhamad Ahnaf Rujhiee yang hilang penglihatan ketika berusia enam tahun berjaya membaca 150 buah buku dalam masa setahun dan ia merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.
Sumber : Utusan http://buff.ly/2q5kprP
Gambar : utusan.com.my