KUALA LUMPUR: Guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Idek, 30, terus mencipta sejarah di peringkat global apabila menjuarai anugerah Community Award for Citizenship di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.
Beliau menewaskan tujuh peserta yang layak ke final anugerah sempena Global Educational Supplies and Solutions (GESS) Education Awards itu.
“Alhamdulillah saya menang anugerah GESS selepas bersaing sengit dengan guru bertaraf global,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, pagi ini.
Sirhajwan turut tersenarai antara 11 finalis tercalon Outstanding Contribution in Education Award sempena GESS.
Bulan lalu, Sirhajwan dianugerahkan biasiswa International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) kategori Express Publishing selepas menewaskan 220 pemohon dari seluruh dunia.
Pada September 2017, beliau mencipta sejarah apabila menjuarai Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Novancia Business School, Paris.
Terdahulu pada Mac 2017, pendidik berbangsa Bajau itu turut tersenarai dalam kelompok 50 finalis Hadiah Guru Global juga di Dubai.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata Sirhajwan menjadi rakyat Malaysia pertama menang anugerah di GESS Education Awards apabila diumumkan sebagai pemenang Community Award for Citizenship, menewaskan tujuh finalis lain di peringkat antarabangsa.
Katanya, majlis anugerah itu dijalankan secara besar-besaran dihadiri pelbagai wakil syarikat dan organisasi dari seluruh dunia yang berkaitan dengan pendidikan serta golongan pendidik untuk meraikan pencapaian dan usaha dalam bidang pendidikan.
“Tahniah kepada Cikgu Sirhajwan Idek dari Kolej Vokasional Keningau menjadi rakyat Malaysia pertama menang anugerah di GESS Education Awards apabila diumumkan sebagai pemenang Community Award for Citizenship.
“Beliau yang tercalon dua anugerah bagi GESS Education Awards 2018 adalah satu-satunya tercalon untuk dua anugerah pada masa sama,” katanya dipetik dalam laman Facebooknya, hari ini.
Sumber: BHOnline