TRANSFORMASI pendidikan harus bermula dengan guru menerusi kesedaran diri, sifat positif dan kemahuan membina ilmu dan kemahiran diri.
Penasihat Tutor Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain berkata, guru perlu menterjemahkan konsep dan elemen yang terdapat dalam kerangka pembelajaran abad ke-21 bagi membentuk strategi pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang berkesan di dalam bilik darjah.
“Guru perlu menekankan aspek membina pedagogi pembelajaran abad ke-21 dalam proses mereka bentuk pengajaran dan bukan hanya menumpukan aspek prasarana fizikal sahaja.
“Tanpa komitmen guru, perubahan yang diinginkan sukar dicapai sekali gus merencatkan pelbagai program pembangunan pendidikan yang diatur,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Persidangan Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Kebangsaan 2006 bertajuk “Pendidikan Abad ke-21: Realiti dan Cabaran” di Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dua lagi ahli panel forum ialah Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman dan Timbalan Presiden Persatuan Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Hussein Ahmad manakala Dr. Mohd. Ghazali Taib pula menjadi moderator.
Persidangan dua hari anjuran IPG Malaysia dan IPG kampus Bahasa Antarabangsa itu dihadiri 500 orang terdiri daripada warga IPG dan Kementerian Pendidikan.
Sebanyak 75 kertas kerja dibentangkan dalam persidangan yang turut diadakan pertandingan Kreativiti dan Inovasi 2016 dan pertandingan Strategi Lautan Biru 2016.
Matlamat pertandingan adalah untuk melahirkan pensyarah, guru dan pelajar yang mampu menghasilkan inovasi dalam pelaksanaan kurikulum.
Pada masa sama, objektif program adalah untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan secara formal kepada pensyarah, guru dan pelajar yang berjaya menghasilkan inovasi pendidikan.
Di samping itu, hasil inovasi pensyarah, guru dan pelajar diharap dapat memberi impak dan manfaat secara langsung kepada dunia pendidikan.
Sementara itu, Mohd. Yusof berpendapat, usaha transformasi yang dilakukan harus mengikut acuan negara dan budaya masyarakat tempatan, bukannya meniru budaya asing.
“Transformasi pendidikan yang kita buat itu mestilah mengambil kira kepercayaan, budaya dan nilai masyarakat kita sendiri,” katanya.
Sumber : Utusan http://buff.ly/2dHF7Wd
Gambar : utusan.com.my