KETIKA Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) mula melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (NTP) pada 2009, kami berdepan dua sentimen umum tidak putus-putus menggalangi setiap usaha kami – optimis bersyarat dan sinis tegar.

Golongan sinis tegar langsung tiada keyakinan terhadap keberkesanan atau kemampuan NTP, manakala golongan optimis bersyarat pula memberi peluang kepada kerajaan.

NTP menangani tujuh isu sosial membelenggu rakyat. Berikutan itu, kami mengenal pasti 12 sektor utama berserta enam tonggak dasar bertujuan memajukan ekonomi secara inklusif dan mampan, bersandarkan hasrat melonjakkan Malaysia kepada status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Tatkala NTP melakar arus perjalanannya memasuki tahun kelapan, saya berkeyakinan penuh setiap kementerian, jabatan, agensi dan pemilik projek dalam kalangan sektor swasta terbabit, telah berusaha gigih melayari agenda transformasi. Kerajaan berjaya membawa pencapaian susulan janji yang tercatat dalam NTP.

Setiap pencapaian dan cabaran dihadapi dalam pelaksanaan NTP jelas dalam enam Laporan Tahunan yang kami terbitkan sejak 2011. Saya ketengahkan beberapa pencapaian utama, paling ketara pastinya pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) oleh MYMRT pada 16 Disember 2016. MRT ini era baharu sektor pengangkutan awam kerana hampir sejuta orang berpeluang memanfaatkan perkhidmatan menjangkaui 100 kilometer (km) setiap hari dengan pantas, mudah dan mesra alam.

 

Prestasi Pelajar Meningkat

Dalam perkembangan lain, langkah penyusunan semula sistem pendidikan negara kini membuahkan hasil. Prestasi pelajar kita meningkat secara progresif berlatarkan tanda aras global. Kajian Trends International Mathematics and Science (TIMSS) pada 2015 menunjukkan dalam subjek Sains, Malaysia tergolong antara 16 negara terbaik dengan markah 471, meningkat daripada 426 pada 2011. Bagi Matematik pula, pelajar Malaysia meraih 465 berbanding 440 pada 2011.

 

Keselamatan Tidak Dipinggir

Kita juga tetap memastikan isu sosial, contohnya keselamatan awam, tidak dipinggirkan. Bahkan, sejak 2010, Indeks Jenayah menyusut 47 peratus, penurunan hampir separuh setakat 2016. Negara juga semakin hampir menggapai status negara berpendapatan tinggi. Pendapatan negara kasar (GNI) perkapita Malaysia pada 2015 mencecah AS$10,570 (RM46,936), sekali gus semakin dekat kepada jumlah AS$12,475 (RM55,401) ditetapkan Bank Dunia.

Usaha Malaysia merapatkan jurang antara golongan berpendapatan sederhana dengan pendapatan tinggi memperlihatkan pencapaian luar biasa. Pada 2009, GNI perkapita negara ‘terbelenggu’ pada nilai AS$7,620, terpisah 34 peratus daripada nilai pendapatan tinggi Bank Dunia. Akan tetapi, pada 2015, kita merapatkan jurang itu kepada 16 peratus, petanda kita bebas daripada belenggu pendapatan sederhana.

Lonjakan ini diterjemahkan menerusi pendapatan median isi rumah bulanan mencapai RM4,585 pada 2014 berbanding RM3,626 pada 2012, bersamaan peningkatan 11 peratus setahun. Kita turut berjaya kurangkan tahap kemiskinan iaitu, 0.6 peratus setakat 2014 berbanding 3.8 peratus pada 2009.

Paling memberangsangkan ialah pendapatan kumpulan 40 peratus berpendapatan terendah (B40). Dengan hanya mencatat pendapatan median dan minimum bulanan sebanyak RM1,440 pada 2009, setakat 2014, kumpulan ini memperlihat kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 13 peratus untuk mencatat pendapatan RM2,629, manakala CAGR sebanyak 12 peratus dilihat dalam peningkatan pendapatan minimum bulanan – RM2,537.

Di samping itu, sungguhpun Rancangan Malaysia Ke-10 menyasarkan peningkatan pendapatan minimum bulanan kumpulan B40 kepada RM2,300 pada 2015, kita melepasinya pada 2014, lebih awal daripada diunjurkan apabila mencatat RM2,313. Sasaran kita melonjakkan pendapatan minimum bulanan golongan B40 daripada RM1,440 (2009) kepada RM2,300 (2015) dicapai pada 2014, mendahului sasaran pendapatan minimum isi rumah (RM/bulan). Sasaran di bawah NTP hanya sebahagian usaha kerajaan memperkukuh kedudukan domestik negara – apatah lagi dalam suasana pergolakan ekonomi dunia berterusan sejak 2008.

Sebagai contoh, inisiatif di bawah NKEA Minyak, Gas dan Tenaga memfokuskan pertumbuhan segmen hiliran yang mampu menjana nilai lebih tinggi berbanding pulangan eksport daripada minyak mentah semata-mata. Antara projek utama ialah Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Johor, yang menempatkan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) milik PETRONAS dan Terminal Air Dalam Pengerang (PDT) milik Dialog Group Bhd.

PIC adalah satu-satunya projek pelaburan hiliran/infrastruktur terbesar di Malaysia dan bakal siap sepenuhnya menjelang 2035.

Selain itu, pelaksanaan NTP juga berteraskan matlamatnya untuk meningkatkan daya saing global Malaysia kerana saiz pasaran domestik ketika ini mengekang potensi pertumbuhan syarikat tempatan. Jadi, kami memperkenal undang-undang persaingan, mengemudi penerapan standard antarabangsa dalam kalangan syarikat tempatan agar produk tempatan mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa dan kami turut meliberalisasi beberapa industri dan sektor untuk mewujudkan suatu persekitaran kondusif untuk mengembangkan perniagaan.

Usaha selama ini berjaya meraih perhatian dan pengiktirafan antarabangsa untuk Malaysia. Berdasarkan The IMD World Competitiveness Yearbook, Malaysia dinobat negara ke-14 terbaik dalam kalangan 61 negara pada 2016, berbanding kedudukan ke-18 dari 57 negara pada 2009.

 

Kekal Penarafan

Sejak pertengahan 2015, Malaysia meraih ‘A-‘ dalam penarafan berdaulat dan perkembangan diiktiraf stabil oleh Fitch Ratings, bahkan berjaya mengekalkan penarafan itu pada Oktober 2016 walaupun 2016 adalah tahun kesuraman dan ketidaktentuan ekonomi.

Kini kita mula melayari 2017. Saya menggesa semua warga Malaysia agar tetap yakin dan tidak goyah demi mempertahankan matlamat negara. Janganlah dihiraukan suara-suara sinis, sebaliknya tumpukan usaha merealisasikan hasrat negara berpendapatan tinggi. Bagi pembaca yang ingin dalami semua perkembangan di bawah NTP, sila layari laman web https://www.pemandu.gov.my/ untuk mengakses laporan tahunan yang tersedia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU)
 

 

 

 

Sumber : Berita Harian                    http://buff.ly/2j36KQ1

Gambar : mstar.com.my

Leave a comment

Your email address will not be published.