KAJANG –  “Semua senyap!!!, jerit Ketua Inspektor Penjara Kajang, Badri Sham  Ahmad.

“Beratur dalam tiga barisan. Jika tidak,  semua tak akan dapat makan tengah hari ini. Saya tahu semua sudah lapar”.

Seperti memberi arahan kepada penghuni penjara, suara garangnya yang digelar ‘Firaun’ oleh banduan Penjara Kajang mematikan terus suara 53 pelajar lelaki daripada 22 buah sekolah  sekitar Kuala Lumpur 

Setelah berpuas hati dengan disiplin yang ditunjukkan, baharu seorang demi seorang dibenarkan mengambil  makanan dan air yang telah siap dihidang di dalam ‘tray’ dan kole plastik sepertimana yang digunakan para banduan.

Mereka diarahkan duduk bersila di lantai dewan dan selepas seorang daripada pelajar  mengetuai  bacaan doa makan, baharu dibenarkan menjamah makanan.

Menu makan tengah hari hanya nasi putih berlaukkan ikan cencaru goreng dan sedikit sayur, teh ‘o’ suam serta sebiji pisang. Tiada lauk-lauk enak seperti yang biasa dinikmati di kedai mahupun di rumah.

“Apa yang kamu makan hari ini, itulah lauk yang dimakan penghuni di dalam sel penjara di sana. Kalau kamu tidak mahu makan makanan seperti ini setiap hari,  pastikan kamu jangan masuk ke sini”, jeritnya.

 

KONGSI PENGALAMAN

 

Walaupun setiap lontaran suaranya tegas tetapi penuh dengan nasihat untuk adik-adik pelajar yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Program Lawatan Sambil Belajar ke Penjara Kajang yang julung kali dianjurkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kuala Lumpur (MCPF KL) bersama Kementerian Pelajaran turut disertai guru disiplin dan guru bimbingan kaunseling sekolah. 

Kesemua 53 pelajar terdiri daripada pelajar tingkatan dua hingga empat yang dipilih berdasarkan rekod masalah disiplin yang dilakukan di sekolah. 

Ada yang pernah ponteng sekolah, mencuri, terlibat dalam pengambilan dadah, menghisap rokok mahupun masalah gaduh dan buli.

Tiada siapa yang ingin menjalani kehidupan di dalam penjara. Di sini adalah tempat kitar semula insan-insan yang telah melakukan kesalahan untuk diperbetulkan semula dengan harapan apabila dibebaskan nanti mereka mampu menjalani kehidupan yang baik kepada keluarga dan masyarakat, ujar Badri Sham.

“Pastikan kamu bila besar nanti tidak datang berjumpa kami di dalam sana (penjara). Kalau kamu rasa ibu bapa atau guru marah dan rotan kamu sebab benci, kamu silap.

“Mereka rotan sebenarnya sebab sayang. Tetapi bila kamu masuk ke dalam penjara  kami akan marah dan rotan kamu sebab benci tanpa ada rasa belas kasihan,” katanya dalam sesi taklimat dan soal jawab bersama pelajar dan guru yang terlibat.

Berkongsi pengalamannya hampir 20 tahun bersama Jabatan Penjara,  Badri Sham berkata setiap warden dan pegawai penjara akan berubah karektor masing-masing setiap kali melangkah masuk ke dalam penjara. Apabila tamat waktu bertugas mereka akan menanggalkan karektor itu di pintu pagar dan kembali seperti insan biasa.

Kami dilatih untuk menjadi seperti sesumpah. Kerana itu nasihat saya jangan sesekali masuk ke dalam sana (penjara), tegasnya.

 

HUKUMAN BERI PENGAJARAN

 

 Menggunakan visual dan video sepanjang sesi taklimat,  Badri Sham dengan dibantu seorang lagi pegawai penjara,  Inspektor Mohd Aazem Mazlam menjelaskan satu persatu kategori banduan yang menghuni di sini.

Tayangan video hukuman sebat paling menyuntik rasa gerun. Melihat riak wajah pelajar,  ada yang mengerutkan wajah, ada juga yang menutup mata tidak sanggup menyaksikan kesakitan yang ditanggung pesalah.

Jeritan yang kedengaran apabila rotan melekat di punggung cukup mengerikan ditambah dengan keadaan kecederaan selepas hukuman.

Ada yang sampai terkeluar isi daging punggung dan terpaksa mengambil masa berbulan-bulan untuk sembuh.

“Itu yang saya katakan. Apabila kamu masuk ke sini dan diperintahkan untuk jalankan hukuman sebat contohnya, kami akan buat bersungguh-sungguh.  Kami satu-satunya jabatan kerajaan yang dibayar gaji untuk merotan orang.

“Nak meraung, menjerit panggil mak bapak sekalipun kami tidak akan kasihan,” katanya dan menambah bahawa minimum hukuman rotan,  satu kali sebatan dan maksimum 24 sebatan.

Tiga jenis rotan akan digunakan mengikut kategori kesalahan. 

Untuk hukuman  di bawah Kanun Keseksaan seperti rogol, Akta Senjata Api mahupun culik,  rotan paling besar akan digunakan dan akan melepaskan sekuat hati dengan hayunan tangan pada 360 darjah.

Manakala untuk jenayah kolar putih, rotan yang sederhana besar digunakan dengan hayunan pada paras ketiak manakala bagi hukuman syariah pula menggunakan rotan yang paling halus.

Turut menarik perhatian sepanjang taklimat itu penerangan mengenai hukuman gantung sampai mati.

Tayangan visual bilik akhir dan tempat pelaksanaan hukuman ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada semua, katanya.

Lebih bermakna, program yang dianjurkan bukan sekadar taklimat semata-mata, pelajar juga diberi peluang merasai sendiri pengalaman melalui prosedur masuk penjara, cara makan di dalam penjara selain taklimat khas di bilik lawatan penjara dan taklimat menjalani prosedur seorang tahanan.

 

PENGALAMAN BERHARGA

 

Mengutip pengalaman berharga sepanjang program ini,  Ketua Guru Disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Ong Be Be cukup yakin program yang dilalui dapat menyuntik kesedaran dalam kalangan pelajar.

“Ini  sebagai langkah pencegahan. Tujuannya agar pelajar faham kesan yang boleh dikenakan kepada mereka sekiranya berterusan melakukan kesalahan. Ada hukuman berat yang menanti mereka di dalam penjara,” katanya yang berpengalaman hampir 32 tahun sebagai guru Bahasa Inggeris.

Beliau, yang sudah 12 tahun bertugas sebagai guru disiplin, banyak menekankan aspek kaunseling selain menerapkan kasih sayang kepada pelajar terutama yang berhadapan dengan masalah disiplin.

“Empat pelajar yang saya bawa hari ini adalah mereka yang saya rasa ada peluang untuk berubah. Mereka pernah melakukan kesalahan disiplin dan dengan lawatan ini diharapkan mereka sedar betapa pentingnya disiplin dalam kehidupan sepertimana yang dilalui banduan di sini,”  katanya.

Bagi  Ketua Guru Disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan  Desa Tun Hussein Onn, Sungai Besi, Noorhayati Khairudin , beliau  cukup tersentuh sepanjang taklimat yang diberikan Jabatan Penjara terutama hukuman sebat dan gantung.

Kehidupan di dalam penjara yang dikongsikan pegawai penjara diharapkan dapat menyentuh hati pelajar untuk berubah menjadi insan yang lebih baik, katanya.

“Perlu buat program seperti ini selalu agar pelajar tahu keadaan sebenar di dalam penjara dan mereka akan berfikir banyak kali sebelum melakukan kesalahan yang boleh disabitkan di bawah undang- undang,” katanya yang akan berkongsi pengalaman sepanjang program ini bersama pelajar sekolahnya nanti.

Sementara itu, bagi pelajar Wan Faris Ikmal Wan Ikram, 16 program ini cukup memberi keinsafan terutama kehidupan sebenar yang dilalui banduan di dalam penjara.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Hartamas ini berkata bahagian yang paling menggerunkan ialah hukuman sebat.

“Takut… Bunyi rotan yang singgah ke badan banduan itu sahaja sudah mengerunkan. Ia satu pengalaman yang cukup bermakna,” katanya.

Mohd Haikal Hakimi Abdullah, 16, pula berpendapat program ini memberi banyak pengajaran buat dirinya terutama melihat sendiri bagaimana kehidupan sebenar penghuni penjara.

Jenis-jenis kesalahan dan hukuman yang diterima  penghuni penjara dijadikan sempadan bagi mengelakkan diri melakukan kesalahan yang sama di masa hadapan.

“Banyak yang saya belajar hari ini terutama  hukuman-hukuman yang diterima banduan di sini. saya berharap tidak akan melakukan kesalahan yang sama ,” katanya.

 

PROGRAM AKAN DITAMBAH BAIK

 

Memberi kesedaran kepada pelajar tegar yang mempunyai masalah disiplin mengenai kehidupan sebenar sebagai penghuni penjara antara matlamat utama pelaksanaan program anjuran MCPF KL ini.

Ahli exco MCPF KL, Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir yang lebih dikenali dengan panggilan Master Saiful berkata program berkenaan akan diteruskan dengan penambahan aktiviti yang akan dicadangkan pihak penjara.

“Jika program julung kali ini hanya mengambil masa setengah hari, untuk program akan datang kita cuba memenuhi lebih banyak aktiviti untuk program satu hari.

“Masa yang panjang itu dapat memberi lebih banyak pendedahan kepada pelajar-pelajar,” katanya.

Bagi mematikan kesinambungan program,  kesemua pelajar yang hadir terus diambil sebagai anak angkat MCPF KL untuk tujuan memantau perkembangan disiplin mereka dengan bantuan guru disiplin dan guru bimbingan kaunseling sekolah.

 Pengerusi MCPF KL, Bok Siew Mun akan bertindak sebagai bapa angkat manakala ahli MCPF KL akan bertindak sebagai abang angkat kepada pelajar​​​​​​​ sekolah yang terpilih, katanya.

“Pihak MCPF akan mendapatkan maklumat perkembangan pelajar secara berkala dari guru disiplin dan guru bimbingan dan kaunseling di setiap 22 buah sekolah yang terlibat,” katanya.

Diharapkan usaha berterusan yang dilakukan ini dapat memberi kesedaran kepada pelajar mengenai tingginya komitmen dan inspirasi negara bagi membangunkan modal insan yang berkualiti  dan bebas daripada masalah sosial.

 

Sumber: Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published.