BAHAGIAN Sukan Kementerian Pendidikan akan membantu mencungkil dan melahirkan bakat baru sukan skuasy yang mampu menaikkan nama negara di pentas dunia.

Pengarahnya, Dr Mehander Singh berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) yang menyumbang kepakaran dan peralatan sukan untuk membangunkan sukan itu di peringkat akar umbi.

Menurutnya, ia adalah seiring dengan usaha kementerian membangun dan menjayakan Program 1 Murid 1 Sukan ke arah sukan berprestasi tinggi.

“Sehingga kini kementerian telah menyiapkan tujuh dewan skuasy di seluruh negara, dengan setiap satu mempunyai tiga gelanggang dan saya percaya dengan kerjasama semua pihak, usaha ini mampu dicapai.

“Kejayaan dan kegemilangan jaguh dunia Datuk Nicol Ann David wajar dijadikan contoh dan model terbaik…kita mesti yakin dan percaya, juara dunia dalam skuasy boleh dilahirkan dan sudah pasti ia mesti bermula daripada program pembangunan akar umbi iaitu di peringkat sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pusat latihan skuasy SMK Seri Pagi, Senawang dekat sini hari ini yang disempurnakan Anggota Majlis Tertinggi Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

Turut hadir, Presiden SRAM, Huang Ying How dan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharudin Ghazali.

Selain SMK Seri Pagi, enam dewan yang telah siap dibina adalah di SK Seri Indera, Kangar, Perlis; SMK Tunku Ismail, Sungai Petani, Kedah; SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang; SMK TPP Tengku Muhammad, Kuantan, Pahang; SMK Bukit Nenas, Setiu, Terengganu dan SK Jalan Bintang, Miri, Sarawak.

Pada masa sama, satu lagi dewan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelapang Jaya, Ipoh, Perak, masih dalam pembinaan.

 

 

 

 

Sumber : Sinar Harian             http://buff.ly/2fGkKgD

Gambar : sinarharian.com.my

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *