KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang mengkaji isu berkaitan yuran pengajian semester Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi penuntut yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata perkara itu kini dalam proses perbincangan untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau berkata kos pengajian penuntut IPT kini tidak tinggi kerana kebanyakan mereka hanya belajar secara dalam talian dan tidak lagi menggunakan sepenuhnya kemudahan di universiti.

“Mereka (pelajar) tidak lagi gunakan asrama, fasiliti sukan, makmal dan bilik kuliah yang memerlukan kos elektrik, takkan tidak boleh kurangkan (kos yuran) di situ.

“Isu yuran sedang kami kaji, akan ada berita gembira. Kami juga faham mereka ada tanggungjawab lain dan keluarga mereka terjejas akibat COVID-19,” katanya semasa ditemu bual dalam Program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM, hari ini.

Ia adalah sebahagian penelitian KPT secara menyeluruh sebelum membenarkan semua IPT dibuka semula mengikut normal baharu pasca COVID-19.

Aspek berkenaan membabitkan faktor yuran pengajian semester, kemudahan internet bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian serta kuota pelajar dibenarkan kembali ke IPT.

Pada 27 Mei lalu, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dilaporkan meminta KPT mengkaji yuran pengajian semester IPT bagi penuntut yang terkesan akibat COVID-19.

Menurut MPPK, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hampir 80 peratus penuntut sudah kembali ke rumah masing-masing dan tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan di universiti.

KPT sebelum ini mengumumkan bahawa semua aktiviti PdP perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember, manakala aktiviti PdP secara bersemuka tidak dibenarkan.

Mengulas lanjut isu yuran, Mohamed Mustafa berkata pihaknya kini sedang meneliti aspek yuran pengajian semester sedia ada, sama ada perlu dibawa ke hadapan, dikurangkan atau sebagainya.

Beliau berkata, luahan dan permintaan pelajar berkaitan isu berkenaan dianggap wajar dan perlu dipertimbangkan, khususnya bagi pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang membabitkan yuran agak mahal,” katanya.

Beliau berkata, IPT diharap mengambil kira faktor yuran agar dapat meringankan beban pelajar, walaupun institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah memberi hampir 90 peratus diskaun daripada yuran pengajian.

“Pelajar ada tanggungjawab lain, manakala ibu, bapa dan keluarga mereka turut terjejas (akibat pandemik COVID-19). Kita juga minta pelajar jangan kelam-kabut dan berasa seolah-olah tidak diberi perhatian.

“Saya percaya kerajaan sangat prihatin, malah Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Dr Noraini Ahmad) meminta kementerian mencari jalan supaya tidak membebankan pelajar,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Mustafa berkata, kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan mahasiswa dibenarkan kembali ke kampus dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak universiti.

Ia membabitkan pelajar baharu dan tahun akhir serta pengajian lepasan ijazah yang perlu menggunakan makmal, studio atau apa-apa infrastruktur bagi menyokong sesi PdP masing-masing.

“Pelajar baharu kita mahu mereka hadir ke kampus pada Oktober ini bagi membiasakan dan memahami senario landskap pengajian tinggi. Mereka tak pernah masuk universiti dan sukar untuk membayangkan kehidupan di sana.

“Mereka juga akan perbanyakkan PdP dalam talian dan kalau perlu bersemuka (dengan pensyarah) perlu mematuhi penjarakan sosial atau kehendak Kementerian Kesihatan dan yang ditetapkan kerajaan.

“Bagaimanapun, isu berkaitan kemampuan infrastruktur perlu kita tangani terlebih dahulu kerana persediaan sebahagian IPT masih belum dibuat secara sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, KPT juga sedang berbincang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia ( MDEC), pihak universiti serta syarikat telekomunikasi berhubung akses internet.

“Kita sedang meneliti sama ada universiti boleh mengurangkan (yuran pengajian) atau tukarkan kepada kemudahan internet kerana pelajar tidak menggunakan asrama, kemudahan sukan, makmal, perpustakaan dan bilik kuliah.

“Bagi syarikat telekomunikasi pula boleh memikirkan peranan dalam membantu pengajian tinggi dan saya percaya mereka masih mampu mendapat keuntungan kerana ini perkara baharu yang boleh memberi ruang besar kepada mereka,” katanya.

 

 

 

 

 

Sumber: Berita Harian                https://bit.ly/36M8SkU

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *