Petaling Jaya : Lagu Aku Negaraku dinyanyikan pada perhimpunan rasmi di sekolah awam seluruh negara bermula semalam.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, lagu itu dinyanyikan bersama lagu kebangsaan, lagu negeri serta lagu sekolah masing-masing.

Katanya, Kementerian Pendidikan sudah mengeluarkan pekeliling dan diedarkan ke semua sekolah di seluruh negara.

“Penambahan lagu yang berentak kontemporari itu diharapkan dapat menyuntik semangat positif dan patriotisme dalam kalangan pelajar.

“Ia sebahagian daripada inisiatif Negaraku yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bertunjangkan semangat cintakan Malaysia,” katanya berucap merasmikan majlis pelancaran lagu Aku Negaraku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama, di sini, semalam.

 

Aku Negaraku.

 

Hadir sama Pengarah Bahagian Sekolah Harian Aminuddin Adam serta Pengetua SMK Damansara Utama, Zulaika A Rahman.

Menurut Dr Khair, pelajar di seluruh negara perlu menghayati dan memahami maksud dalam bait-bait lagu selain menjiwai dan mengamalkannya sebaik mungkin.

Katanya, selain memberi tumpuan kepada pembelajaran, sekolah juga memainkan peranan penting untuk membentuk pelajar menjadi insan cemerlang yang memiliki semangat patriotisme tinggi kepada negara.

“Selain mempunyai melodi serta irama yang menarik, pengertian di sebalik lagu ini juga penuh bermakna.

“Ia sarat dengan mesej cintakan tanah air dan kementerian yakin lagu Aku Negaraku akan diterima baik oleh semua warga sekolah khususnya pelajar,” katanya.

 

 

 

 

Sumber : Metro              http://buff.ly/2rNo8IG

Gambar : hmetro.com.my

Leave a comment

Your email address will not be published.