LABIS – Persepsi umum bahawa anak-anak masyarakat Orang Asli tidak suka ke sekolah selama ini sudah boleh dipadam kerana murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kudung yang majoriti anak Orang Asli suku kaum Jakun membuktikan sebaliknya.
Guru Besarnya, Datuk Rosdin Mahmod berkata, hasil kerjasama Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) serta komitmen guru -guru dan masyarakat setempat, sekolah tersebut berjaya meraih pelbagai kejayaan di peringkat daerah hingga kebangsaan.
“Status sekolah luar bandar dan sekolah kurang murid tidak menghalang murid-murid di sekolah ini bersaing dengan murid sekolah lain termasuk sekolah di bandar dari segi pencapaian sukan.
“Kehadiran murid sekolah ini juga mencapai lebih 80 peratus hasil kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan pendidikan selain hasil usaha pihak sekolah sendiri yang berjaya mewujudkan suasana persekitaran semulajadi di sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, antara kejayaan diraih sekolah tersebut adalah johan Pertandingan Asrama Terbilang Peringkat Kebangsaan 2013, johan bagi Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Kategori Sekolah Pedalaman Peringkat Negeri dan pemantauan peringkat kebangsaan yang sedang dijalankan meletakkan sekolah ini pada kedudukan lima teratas.
Menurutnya, SK Kampung Kudung juga berjaya mengekalkan status juara dalam Karnival Sukan Sekolah-Sekolah Orang Asli Johor buat dua tahun berturut-turut tahun lalu dan tahun ini serta beberapa atlet sekolah itu terpilih mewakili negeri hingga ke peringkat kebangsaan.
Tambah Rosdin lagi, usaha gigih guru serta masyarakat setempat juga berjaya menghiasi hampir keseluruhan lanskap kawasan sekolah dengan hasil-hasil hutan dan sumber alam yang diketahui dekat dalam diri masyarakat Orang Asli.
Sehingga 17 Oktober lalu, SK Kampung Kudung menerima 21 lawatan penanda aras dari sekolah di seluruh negara, universiti awam dan Kelab Media Johor (KMJ) untuk melihat sendiri perjalanan serta urus tadbir sekolah tersebut.
Terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Bekok, sekolah tersebut memiliki 159 murid sahaja dengan 60 murid Orang Asli tinggal jauh di kawasan pedalaman tetapi menetap di asrama.
“Terdapat 19 guru dan tujuh kakitangan sokongan di SK Kampung Kudung selain murid-muridnya terdiri daripada suku kaum Jakun dari lima perkampungan Orang Asli di sekitar Bekok iaitu Kampung Tembayan, Kudung, Tamok, Kemidak dan Selai.
“Memandangkan SK Kampung Kudung merupakan salah satu pintu masuk ke Taman Negara Endau-Rompin Selai, pihak sekolah sedang merangka pakej Orang Asli dengan kerjasama PIBG dan penduduk kampung bagi memberi satu lagi nilai tambah kepada sekolah,” katanya.
Sumber : Utusan http://buff.ly/2e8gQeK
Gambar : skgu.blogspot.com