ALOR SETAR – Penuntut Doktor Falsafah (PhD) Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Nur Azzalia Kamaruzaman berjaya memenangi ‘Best of the Best’ dalam pertandingan ‘3 Minute Thesis Competition 2016’ peringkat kebangsaan yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.
UUM dalam kenyataan berkata Nur Azzalia, 28, dipilih menerima anugerah tersebut menerusi tesisnya bertajuk ‘B-Carboline: A New Reality for Leukemia’ sekali gus menewaskan 55 penyelidik lain dari 20 universiti tempatan.
Beliau yang membawa pulang trofi dan wang tunai Euro 1,000 akan mewakili negara ke pertandingan 3 Minute Thesis (3MT) peringkat antarabangsa yang berlangsung di Brisbane, Australia September ini.
Pada pertandingan tersebut beliau turut muncul johan bagi kategori Sains dan Teknologi dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan trofi.
Nur Azzalia berkata beliau bersyukur dan tidak menyangka tesisnya dipilih untuk memenangi kategori itu selepas bekerja keras sebagai persediaan untuk menyertai pertandingan tersebut.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Naib Canselor UUM Prof Datuk Seri Dr ohamed Mustafa Ishak.
Mohamed Mustafa berkata pertandingan 3MT ini merupakan satu pertandingan akademik yang mana mencabar pelajar PhD terlibat untuk membentangkan topik tesis mereka dalam masa tiga minit di hadapan penonton dan juga juri.
“Proses ini secara tidak langsung membantu mereka meningkatkan kemahiran dalam komunikasi yang melibatkan komuniti. Pertandingan 3MT turut menjadi landasan kepada peserta untuk menonjolkan idea hebat mereka dalam kajian yang dijalankan,” katanya.
Kategori Sains Sosial, tempat pertama dimenangi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), diikuti tempat kedua Universiti Malaya (UM) dan tempat ketiga Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Bagi kategori Sains dan Teknologi, USM yang diwakili Nur Azzalia turut mengungguli tempat pertama, diikuti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di tempat kedua dan Universiti Putra Malaysia (UPM) tempat ketiga.
Kategori Kejuruteraan UTM dinobatkan juara, seterusnya tempat kedua dimenangi UPM dan tempat ketiga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Sumber: BERNAMA