PUTRAJAYA – Lapan pelajar Kolej PERMATA Insan mengharumkan nama negara apabila merangkul satu pingat emas, perak dan dua gangsa dalam pertandingan “Long Term Project Level 1 & 2” sempena World Creativity Festival (WCF) 2015 di Daejeon, Korea baru-baru ini.
Mengumumkan berita itu hari ini, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata kumpulan Desire yang diwakili Muhammad Shukhairi Misbah dan Nurul Aiman Aqilah Danny Hamidon merangkul anugerah emas dengan mengetepikan saingan peserta Taiwan, Arab Saudi, China, Korea dan Indonesia dengan tajuk tesis “The Implication of Show Dance Towards Stage Fright”.
“Antara pandangan yang diberikan para juri ialah penyelidikan dari delegasi Malaysia adalah ia satu-satu pasukan yang mengintegrasikan penyelidikan dengan elemen agama,” katanya.
Rosmah, yang juga Penaung Program PERMATA, berkata Kumpulan Concea yang terdiri daripada Abdul Razzak Khan Rustum Ali Khan dan Afiqah Che Endut dengan tajuk tesis “The Impact of Board Games Towards Mathematics Interest” pula memenangi perak.
Kumpulan The Ikhtilaf dan Aim pula merangkul anugerah gangsa dengan tajuk tesis “The Impact of Song Melody Towards Human Memory” dan “A Newly-Combined Talents: Silat and Mental Arithmetic”.
Pertandingan WCF anjuran Korea Advanced Institute of Science and Technology dan Korean Society for the Gifted (KSG) itu berlangsung pada 16 hingga 18 Oktober lalu.
Rosmah berkata WCF merupakan acara tahunan yang diadakan untuk menggalakkan minat dan kecenderungan pelajar pintar dan berbakat dari seluruh dunia untuk berkreativiti dalam penyelesaian masalah dalam bidang sains dan teknologi.
“Ia merupakan satu platform kepada pelajar seluruh dunia untuk mempertandingkan hasil penyelidikan masing-masing yang berkaitan dengan kemampuan dan kreativiti dalam menyelesaikan masalah,” katanya.
Beliau menambah bahawa PERMATA Insan yang menyertai WCF sejak 2013 pernah memenangi beberapa anugerah perak dan gangsa sebelum ini.
“Adalah diharapkan agar Permata negara yang sedang digilap ini terus melakarkan sejarah kejayaan buat Malaysia sekali gus merealisasikan objektif program PERMATA Insan iaitu menjana cendekiawan Islam,” katanya.
Sumber: BERNAMA