BANDAR BARU NILAI: Pendebat bahasa Arab dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengharumkan nama negara, apabila muncul naib juara Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa (IUADC) di Doha, Qatar, semalam.
Pelajar Undang-undang dan Syariah, Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, 21; Muhammad Syafiq Suhaimi, 23; Anis Amirah Zakaria dan Nur Akma Mohd Dali masing-masing berusia 24 tahun, memperoleh kejayaan itu dalam kategori bukan penutur asal Bahasa Arab.
Lebih membanggakan, Nur Akma turut disenaraikan di tempat kedua pendebat terbaik keseluruhan IUADC 2017 yang diadakan di Qatar National Convention Center.
Pertandingan yang bermula pada Sabtu lalu menyaksikan sebanyak 30 pasukan debat universiti dari pelbagai negara termasuk Universiti Deakin, Australia; Institusi Jerman Eropah, Jerman; Meridian Atuluku, Turki; Universiti Islam Indonesia; Indonesia dan Universiti Real Madrid, Sepanyol.
Pada peringkat akhir, pasukan itu bertemu dengan pendebat dari Universiti Sciences Po Parissa, Perancis.
Muhammad Syafiq berkata, mereka bersyukur apabila layak ke peringkat seterusnya dan berusaha mengekalkan momentum ketika berada di pentas akhir dengan memberi tumpuan terbaik kepada setiap perlawanan.
Katanya, walaupun berdepan banyak tekanan tetapi pasukan itu berjaya mengatasi dengan baik hasil latihan intensif individu dan berkumpulan, pembacaan, perlawanan debat persahabatan dan pengalaman menyertai pertandingan sebelum ini.
“Syukur akhirnya kami berjaya muncul sebagai naib juara. Ini kejayaan manis bagi kami dan jurulatih, Ahmad Norsyafwan Norwavi kerana berjaya menggalas kepercayaan yang diberikan USIM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pasukan debat USIM menerima piala dan sijil penghargaan dari penganjur iaitu Qatar Debate. Kemenangan di Doha itu adalah kejayaan kedua diraih pasukan itu di peringkat antarabangsa pada tahun ini, selepas dinobatkan sebagai juara Debat Bahasa Arab Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi ASEAN yang diadakan di USIM awal bulan ini.
Sumber : Berita Harian http://bit.ly/2o8RTkW
Gambar : bharian.com.my