Sistem pendidikan Jepun mewajibkan pengajian peringkat rendah pada usia enam tahun.

Sekolah awam menjadi pilihan utama pengajian peringkat menengah rendah manakala pendidikan swasta popular pada peringkat menengah dan universiti.

Sistem pendidikan Jepun memainkan peranan penting bagi membangunkan kembali negara itu selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Dalam usaha meningkatkan bidang pendidikan, Kementerian Pelajaran Jepun ditubuhkan pada 1871 ketika di bawah pemerintahan Meiji yang menjadi nadi utama dalam pembentukan pendidikan awal.

Pada masa itu, sistem pendidikan dirombak dan mengalami perubahan besar iaitu transformasi daripada sistem pendidikan feudal kepada pendidikan moden ala Barat.

Kementerian banyak memainkan peranan dalam mengubah imej Jepun kepada sebuah negara yang mempunyai taraf pendidikan disegani di dunia sehingga kini. Jepun kini menduduki tempat kedua sebagai negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia selepas Korea Selatan.

Kejayaan itu hasil daripada tindakan Kementerian Pelajaran menyeragamkan sistem pendidikan.

Ia bermula apabila Jepun menggubal Undang-undang Asas Pendidikan pada tahun 1947 dan masih berkuat kuasa sehingga kini. Melalui peruntukan itu, pembelajaran di sekolah ditetapkan selama enam tahun, sekolah menengah rendah dan sekolah menengah masing-masing tiga tahun, manakala dua atau empat tahun di universiti.

Pendidikan di tadika pula bermula pada usia murid dua hingga lima tahun. Pembelajarannya menekankan pembangunan akhlak dan sosial selain memberi tumpuan kepada keupayaan kanak-kanak lulus peperiksaan untuk memasuki sekolah rendah.

Secara umum, kaedah pengajaran di Jepun menggabungkan tiga kombinasi iaitu penjelasan dan soal jawab dengan guru, perbincangan bersama pelajar dan penerokaan sendiri menggunakan alat bantuan pembelajaran.

Penyeragaman itu dilihat sebagai langkah kementerian untuk memudahkan pemantauan terhadap sistem pendidikan negara itu,

“Keseragaman ini dilihat lebih berasaskan kepada prinsip nasionalisme dan penyerapan kebudayaan Barat yang bersifat selektif.

“Dengan kata lain, pendidikan di Jepun menjadikan sistem pendidikan barat sebagai model,” kata penyelidik di Harvard Business School – Japan Research Center yang berpengkalan di Tokyo, Akiko Kanno.

Sumber: myMetro

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *