MEMBESAR sebagai pelajar sekolah di Malaysia, pasti kita semua akan melalui perkara ini dan jika ditanya, subjek kegemaran, pastinya salah satu daripadanya adalah subjek Pendidikan Seni.

Pendidikan Seni adalah satu satunya kelas yang memberikan kebebasan menzahirkan kreativiti tanpa halangan serta peluang untuk bermain dengan krayon, kertas berwarna, warna air.

Mari kita imbas kembali antara aktiviti yang pasti kita lakukan dalam subjek Pendidikan Seni:

Lukisan corak menggunakan penyedut minuman

Mudah iaitu dengan menitiskan beberapa titisan warna air di atas kertas lukisan, dan meniupnya  menggunakan penyedut minuman dan ulanginya dengan pelbagai warna lain.

Cop ubi kentang

Caranya mudah, potong ubi kentang mengikut pelbagai bentuk dan rendamkannya di dalam warna air dan kemudian cop di atas kertas, maka terbentuklah corak. Bukan sahaja ubi kentang, sebaliknya antara bahan lain yang sering digunakan ialah batang pisang, batang betik dan pelbagai jenis daun.

Tekap duit syiling

Caranya sangat mudah iaitu hanya letakkan duit syiling di bawah kertas sebelum mewarnakannya dengan pencil atau pencil warna, ulanginya dengan saiz syiling berlainan.

Tampal kertas warna

Ini pasti perkara yang sering dilakukan. Gunting kecil kertas berwarna dan kemudian lekatnya di dalam bentuk yang dilukis di atas kertas sebelum itu.

Lukis bendera Malaysia

Tibanya hari merdeka, pasti kita akan dikehendaki melukis bendera Malaysia, mudah untuk lakukan garisan merah putih namun, pasti sukar jika mahu melukis bintang dan bulan.

Buah-buahan tempatan

Antara subjek yang menjadi kegemaran guru pendidikan seni adalah “buah-buahan tempatan dan yang pasti kita akan melukis sekali dengan bakulnya. Antara subjek lain  yang sering dipilih guru adalah rumah idamanku serta gambar pemandangan.

Lukis topeng muka

Lukis mengikut karakter yang dikehendaki dan kemudian gunting mengikut bentuk dan mewarnakannya.

Sumber: Sinar Online

Leave a comment

Your email address will not be published.