Langkawi : Guru Pembina Negara Bangsa yang dipilih buat kali keempat sebagai tema sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan tahun ini, dilihat cukup signifikan dengan peranan guru dalam agenda pembangunan negara. 

Sambutan yang akan diadakan pada 16 Mei di Johor itu, mengulangi tema sambutan pada 2009, 2010 dan 2016 dan bakal dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan (KPM) Aminudin Adam berkata, sambutan kali ini berlangsung di Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor.

Beliau berkata, sambutan yang bakal dipenuhi dengan pelbagai aktiviti itu dijangka dihadiri lebih 2,500 guru dari seluruh negara.

“Bagi memperkasakan profesion perguruan di negara ini dengan lebih mendalam, tema sambutan Hari Guru tahun ini mengulangi tema sambutan pada 2009, 2010 dan tahun lalu iaitu ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

“Tema ini sekali lagi dipilih kerana sangat signifikan dengan peranan utama guru dalam melunaskan akauntabiliti mereka dalam agenda pembangunan negara. Malah, guru adalah nadi penggerak utama yang sentiasa berkorban tenaga dan masa,” katanya dalam temu bual di Kuah, di sini, semalam.

Beliau berkata, guru adalah insan yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dalam bidangnya serta mempunyai keperibadian terpuji serta berupaya menjadikan diri mereka sebagai suri teladan.

“Dalam konteks pendidikan, guru berperanan sebagai individu yang membina dan membentuk kualiti individu pelajar dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi memenuhi aspirasi pendidikan.

“Malah, peranan guru juga dapat membina satu ‘Negara Bangsa’ seperti tema kita pada tahun ini yang merujuk kepada melahirkan insan berjati diri dan beridentiti Malaysia,” katanya.

Menurutnya, bagi menyempurnakan peranan dalam membina ‘Negara Bangsa’ menerusi kelahiran warga yang berpengetahuan, guru mesti menguasai disiplin ilmu yang diajar.

“Mereka harus menyampaikan ilmu secara kreatif dan inovatif selari dengan perkembangan teknologi terkini. Selain itu, guru harus menggunakan pendekatan strategik dan teknik pengajaran yang pelbagai termasuk berani mencuba kaedah pembelajaran abad ke-21,” katanya.

Aminudin berkata, pelbagai aktiviti akan diadakan sempena Hari Guru pada tahun ini bermula pada 11 Mei hingga kemuncak sambutan pada 16 Mei.

“Pada 11 Mei akan diadakan Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Tahlil Hari Guru 2017 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, Johor Bahru dan bermula pada 12 hingga 16 Mei pula diadakan Pameran Interaktif Pendidikan di Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru.

“Kita juga menganjurkan ‘Larian Muafakat Guru’ di Dataran Bandaraya Johor Bahru yang akan dihadiri Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Apa yang boleh kita rumuskan, pelbagai aktiviti bertemakan profesion guru akan dijalankan sepanjang minggu sebelum sambutan Hari Guru,” katanya.

Beliau berkata, matlamat dan dasar KPM dalam membina Negara Bangsa bertujuan memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral.

“Nilai peradaban ini perlu disemai bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi dan peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bahagi.

“Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa juga menuntut komitmen tinggi daripada semua warga pendidik,” katanya.

Sumber : Metro http://buff.ly/2qGcoaW

Gambar : hmetro.com.my

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *