KUALA TERENGGANU – PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas) memperuntukkan sebanyak RM113 juta bagi membiayai keperluan pendidikan 300 pelajar termasuk 43 orang dari negeri ini yang terpilih melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka tempatan dan luar negara, tahun ini.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd. Rahman berkata, sumbangan menerusi Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) itu merupakan antara komitmen berterusan dalam teras pendidikan sejak 1975.

Menurut beliau, tahun ini, pembiayaan membabitkan pelajar pengajian kejuruteraan kimia, kejuruteraan mekanikal, geofizik, undang-undang dan kursus lain berkaitan minyak dan gas sama ada di Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta universiti di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia, New Zealand dan Kanada.

“Sehingga kini, lebih 36,000 pelajar cemerlang di negara ini telah menerima penajaan PESP membabitkan peruntukan lebih RM3.2 bilion,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampai­an Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2018 di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) dekat sini, semalam.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat; Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Wan Mohd. Hasnan Abdullah dan Pengarah Yayasan Terengganu, Hishamudin Hashim.

Seramai 43 pelajar dari negeri ini dipilih menerima tajaan PESP tahun ini daripada 8,000 permohonan dari seluruh negara, melibatkan peruntukan RM10.5 juta bagi pembiayaan pengajian peringkat prauniversiti hingga ijazah sarjana muda.

Difahamkan, seramai 1,488 pelajar Terengganu yang cemerlang dalam SPM mendapat tajaan melalui program itu membabitkan nilai RM168 juta sejak penubuhan PESP.

Menurut Raiha, walaupun terkesan dengan ketidaktentuan harga minyak mentah di pasaran global, Petronas tetap memperuntukkan pelaburan yang secara relatifnya cukup besar dalam PESP serta aspek pembangunan modal insan.

“Kami percaya bahawa pelajar inilah yang bakal menggantikan tenaga kerja profesional di negara dan syarikat ini sekali gus mengekalkan kemampanan landskap ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, selain PESP, Petronas giat melaksanakan pelbagai program lain antaranya Bantuan Tajaan dan Latihan Institusi Vokasional (Vista) di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) bagi memperkasa golongan belia dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Program yang sama telah me­lahirkan 870 orang pelatih berkemahiran dalam bidang kimplan 6G di Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec) sejak 1995 hingga 2012.

“Selain itu Petronas kerjasama dalam pelaksanaan program English In Terengganu (Trenglish) di 50 buah sekolah untuk peningkatan penguasaan bahasa dunia itu dan Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) yang merupakan wadah mendekati sekolah luar bandar,” ujarnya.

Sumber: Utusan Online

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *