LABUAN: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) giat mengadakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan keupayaan pendidikan pelajar sekali gus platform ke arah membangunkan modal insan negara untuk jangka masa panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals Methanol Sdn Bhd, Mahadzir Rani, berkata program berterusan itu sejajar menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan pencapaian akademik khususnya bagi pelajar luar bandar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Beliau berkata, program pendidikan yang memanfaatkan pendidikan generasi muda sentiasa menjadi keutamaan pihaknya seperti menerusi penganjuran program Kembali Ke Sekolah.
“Kami berharap semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan murid dapat bekerjasama membantu meningkatkan kemahiran dan kebolehupayaan di sekolah bagi menjamin masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kembali Ke Sekolah, Bengkel Kecemerlangan Sains dan Matematik serta Sumbangan Beg Sekolah yang berlangsung di PETRONAS Chemicals Methanol Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Penolong Pengarah Pendidikan Sains Sosial Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Nizam Yassim.
Pada majlis itu, Mahadzir turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 200 murid daripada keluarga kurang berkemampuan.
Bersempena dengan program itu, PCG turut bekerjasama dengan BH bagi menganjurkan Bengkel Kecemerlangan Matematik dan Sains yang sebelum ini turut diadakan di Sipitang, Sabah dan Kerteh, Terengganu.
Sumber : Berita Harian http://buff.ly/2fidQv4
Gambar : bharian.com.my