PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan akan memperluaskan program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) bersama industri di semua sekolah menengah harian bermula tahun depan.

Program yang menetapkan 70 peratus masa pembelajaran di industri dan 30 peratus pengajian akademik di dalam kelas itu akan membabitkan murid tingkatan empat dan lima sahaja.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata, buat permulaan, projek rintis bagi program itu akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra bermula Mac ini sebelum diperluas ke 2,408 sekolah menengah di seluruh negara.

PIMA yang bertujuan melengkapkan pelajar dengan kemahiran vokasional selaras permintaan industri itu akan menumpukan kepada murid yang terlibat dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang kini berjumlah 26,099 orang, katanya.

Bercakap kepada pemberita semasa sesi taklimat peluasan PIMA di sini hari ini, Ahmad Tajudin berkata, sehingga Oktober lepas, sebanyak 779 sekolah terlibat melaksanakan PPKI, melibatkan pelajar yang mengalami masalah pembelajaran, pendengaran dan penglihatan.

Beliau berkata, kertas cadangan, penyediaan garis panduan dan taklimat kepada pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenai PIMA akan dilaksanakan dalam mesyuarat profesional pada bulan hadapan.

“Kita juga menyasarkan menjelang akhir tahun ini, sebanyak 10 peratus daripada 2,408 sekolah menengah harian di seluruh negara akan dapat menawarkan PIMA di sekolah masing-masing.

“Inisiatif pelaksanaan program itu di sekolah menengah juga diambil berikutan tempat yang terhad di kolej-kolej vokasional sehingga menyebabkan ramai pelajar yang tidak dapat menyertai bidang tersebut,” katanya.

Ahmad Tajudin berkata, selain melaksanakan PPKI, kriteria pemilihan sekolah untuk program itu ialah lokasi sekolah mesti berhampiran dengan industri termasuk peratusan kehadiran pelajar yang rendah ke kelas.

Bagi pemilihan murid, mereka mestilah pelajar tingkatan empat dan lima, berisiko keciciran dan juga cenderung kepada program kemahiran di mana pelajar yang menyertai PIMA berpeluang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) selain Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Untuk pihak industri, kriteria yang ditetapkan mestilah syarikat yang berupaya memberi kemahiran dalam industri ringan, mengutamakan aspek keselamatan dan berhampiran dengan sekolah, katanya.

PIMA merupakan lanjutan daripada Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diperkenal kementerian pada 2012 tetapi ia menumpukan kepada pelajar Kolej Vokasional. 

 

 

 

 

Sumber : Utusan                   http://buff.ly/2jzBiFd

Gambar : thestar.com.my

Leave a comment

Your email address will not be published.