PADANG BESAR (Thailand): Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail, mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan agar Bahasa Siam dapat diajar sebagai bahasa ketiga di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Padang Besar (Utara).
Baginda dalam titahnya melihat langkah berkenaan sangat berguna kepada murid dan guru yang berada di sekolah yang hanya terletak kira-kira 500 meter daripada sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini.
“Dengan mempelajari kedua-dua bahasa ibunda (Bahasa Melayu dan Bahasa Siam), beta percaya jalinan hubungan antara Malaysia dan Thailand dapat diperkukuhkan dan dalam masa sama juga, integrasi sosial dapat diwujudkan antara masyarakat di kedua-dua negara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika melakukan lawatan ke Sekolah Chumchonban Padang, di sini, hari ini. Yang turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Sharifah Khatreena Nuraniah.
Raja Muda Perlis dalam masa sama menyarankan kerajaan di kedua-dua negara dapat menganjurkan inisiatif kerjasama membabitkan penggunaan Bahasa Melayu dan Siam sebagai contoh program pertukaran pelajar.
Titah baginda, sebagai negara berjiran seharus memastikan bahawa komunikasi antara kita efektif dalam menjunjung penggunaan bahasa sebagai alat untuk menyebarkan maklumat serta pengetahuan.
“Setiap jabatan yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand juga diharapkan akan ada mempunyai kakitangan yang mampu membaca, menulis dan bertutur dalam Bahasa Siam.
“Begitu juga di negara Thailand, di mana kita harap ada kakitangan jabatan kerajaannya yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand ini dapat melakukan perkara yang sama dalam Bahasa Melayu….dengan berbuat demikian, sebarang informasi akan dapat difahami dengan efektif dan tepat,” titah baginda.
Terdahulu, baginda Raja Muda Perlis turut berkenan menyerahkan kuih raya kepada kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Kereta Api Padang Besar di Malaysia.
Sumber: BHOnline