MUSIM cuti sekolah kian tiba. Peperiksaan akhir tahun sekolah serta ujian peringkat kebangsaan sudah ba­nyak yang berlalu. Sekolah mula disibukkan dengan aktiviti pengisian masa senggang serta persiap­an untuk dokumentasi pemarkah­an. Dalam konteks di Malaysia, November dan Disember adalah tempoh kesenggangan pelajar.

Cuti yang kian hampir menimbulkan pelbagai reaksi sama ada oleh pelajar, guru, ibu bapa dan ahli komuniti. Pastinya ibu bapa dwikerjaya (ibu dan bapa kedua-duanya bekerja) mula mengintai-intai program cuti sekolah untuk anak-anak mereka. Mungkin untuk memastikan masa senggang anak-anak terisi, maka ikhtiar menghantar anak-anak ke kem cuti sekolah mula diteroka.

Pada masa sama banner dan iklan program cuti sekolah mula kelihatan. Adalah amat perlu bagi ibu bapa memastikan keselamat­an anak-anak apabila memilih untuk menghantar mereka ke kem cuti sekolah. Paling mudah adalah dengan membuat semakan daftar perniagaan dan permit khas yang dikeluarkan oleh kementerian serta agensi penguatkuasaan yang berkenaan. Ini memberi gambaran bahawa akan wujud ruang untuk pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi kekosongan waktu ini dengan iklan yang tidak berintegriti. Zaman teknologi maklumat kini, pelbagai iklan yang mudah dapat dibuat dan mudah untuk menjadi viral.

Masa senggang secara am­nya sering juga disebut sebagai masa lapang. Namun, dalam konteks akademik konsep masa senggang bukan sekadar merujuk kepada masa lapang namun adalah keterluangan masa yang membolehkan setiap individu melakukan akti­viti yang disukai tanpa terikat kepada apa-apa bentuk tekanan.

Sama ada sedar ataupun tidak, pengisian masa senggang lebih banyak dirancang dan diisi dengan produktif di negara maju. Musim panas di negara maju seperti Eropah, Jepun, Korea dan Amerika Syarikat lazimnya adalah waktu senggang kepada masyarakat di sana. Mereka merancang secara rapi pengisian waktu tersebut. Tidak hairanlah sukan musim panas menjadi tumpuan ramai masyarakat di sana kerana pengisian waktu senggang mereka untuk musim panas telah menjadi rutin.

Malahan, di kota London sendiri terdapat ribuan kursus pendek dan ceramah ilmiah ditawarkan kepada penduduk kota metropolitan untuk pengisian waktu senggang. Uniknya, sambutan itu cukup meriah. Seolah-olah satu pesta. Kecintaan terhadap ilmu menyaksikan banyak ceramah umum dan diskusi ilmiah menjadi tumpuan masyarakat kota London. Betapa nilai dan budaya ilmiah tersirat dalam sanubari masyarakat kota.

Berbeza dengan Malaysia, pengisian waktu senggang ba­nyak dipengaruhi oleh kalendar sekolah. Aktiviti waktu senggang disandarkan kepada cuti sekolah. Barangkali kerana faktor kekeluargaan dalam masyarakat dwi kerjaya, maka waktu cuti sekolah menjadi tempoh utama untuk pengisian waktu senggang. Pusat peranginan mula dipenuhi oleh masyarakat yang bercuti. Pada waktu itu jugalah, kenaikan harga mula dilihat di kebanyakan tempat bercuti kerana wujudnya persaingan dalam mendapatkan tempat percutian yang menarik dan berpatutan.

Dalam keghairahan meluangkan waktu untuk aktiviti pada waktu senggang, terdapat segelintir masyarakat yang begitu obses dengan pencapaian akademik anak-anak sehingga menjadikan cuti sekolah sebagai satu kem tambahan untuk mengejar kecemerlangan akademik. Tidak salah untuk mengejar kecemerlangan akademik, namun perlulah dilakukan secara bijaksana. Sebaik-baik­nya rancang dan bincangkan dengan anak-anak berdasarkan keseimbangan antara aktiviti masa senggang dengan aktiviti lain. Hakikatnya, pengisian masa senggang produktif mempunyai kaitan yang amat rapat dengan kesejahteraan diri setiap insan.

Apabila seseorang mempunya­i ruang yang sempurna untuk menyalurkan minat dan kecen­derungan mereka dalam aktiviti senggang, sedikit sebanyak ini dapat meredakan tekanan diri. Namun perlu diingatkan bahawa pengisian waktu senggang untuk anak-anak di usia remaja perlu dipantau oleh ibu bapa. Memang benar remaja memiliki minat dan kecenderungan tersendiri, namun jika melibatkan elemen yang boleh memudaratkan maka ibu bapa perlu bertindak segera. Umpamanya, bagi remaja yang berminat dengan aktiviti lasak, ibu bapa perlu mencari alternatif untuk melibatkan anak-anak dalam persatuan akti­viti lasak profesional.

Dengan cara itu, wujud situasi menang-menang iaitu anak-anak dapat mengembangkan minat dan kecenderungan mereka secara bijak, manakala ibu bapa pula menjadi penyokong dan pemantau terdekat dengan aktiviti waktu senggang. Pengisian waktu senggang produktif amat jarang diberi perhatian dalam perbincangan dan diskusi ilmiah di negara ini kerana banyak tumpuan diberikan kepada jenis aktiviti kesukanan berbanding aktiviti yang diminati individu.

Bahkan, banyak perbincangan tentang masa senggang dikaitkan dengan fenomena negatif seperti gejala lepak, lumba haram, kumpulan jalanan dan sebagainya. Sedangkan kesemua kegiatan tersebut adalah hasil daripada kegagalan dalam mendidik pengisian waktu senggang produktif.

Dalam konteks pendidikan formal di Malaysia, aktiviti kokurikulum amat perlu mengambil kira konsep waktu senggang dalam merencanakan aktiviti mereka. Falsafah kokurikulum yang antara lain untuk mengembangkan potensi pelajar perlu diterjemahkan menerusi tapisan kecenderungan dan minat pelajar era baharu kini. Jangan jadikan kokurikulum sebagai satu bentuk aktiviti yang terlalu rigid sehingga menyebabkan pelajar berasa terikat dengan banyak perkara.

Malahan, guru juga sebenar­nya memiliki potensi, minat dan kecenderungan tersendiri yang mungkin boleh menjadi tarikan (crowd puller) kepada pelajar untuk menyertainya. Jelas sekali kehidupan persekolahan di Malaysia mempunyai impak yang besar kepada landskap budaya dan gaya hidup masyarakat sehingga kalendar cuti persekolahan adalah asas kepada perancangan pengisian waktu senggang.

Tiba masanya untuk kita berbincang dengan ahli keluarga tentang pengisian masa senggang yang diharapkan agar cuti sekolah ini dapat dimanfaatkan secara produktif sekali gus me­ningkatkan kesejahteraan diri dan meredakan tekanan hidup. Janganlah kita merancang untuk gagal dan juga kita tidak boleh gagal untuk merancang. Masa depan tetap hadir dengan pelbagai warna walaupun kita tidak merancangnya!

 

 

 

 

Sumber : Utusan                  http://buff.ly/2fSitPz

Gambar : astroawani.com

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *