SEMUA sekolah menengah di seluruh negara akan disanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dibuka.
Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Mutalib berkata, langkah itu bagi memastikan sekolah bersih dari ancaman Covid-19.
Menurutnya, pihaknya masih belum dimaklumkan bila sekolah akan dibuka secara rasmi dan ia bergantung kepada tarikh diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
Beliau berkata, pada dasarnya kementerian berkenaan akan membantu KPM membuat sanitasi seluruh bangunan sekolah membabitkan anggota bomba di setiap daerah.
“Sebelum ini KPM ada mengumumkan membuka sekolah menengah dahulu khususnya bagi pelajar tingkatan lima dan enam yang akan mengambil peperiksaan tahun ini,” katanya.
Dr Ismail berkata sehingga semalam, JBPM membuat 7,817 operasi sanitasi membabitkan 11,311 premis di seluruh negara.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat dan melawat cadangan projek tebatan banjir bandar Maran hari ini.
Hadir sama, Pegawai Daerah Shahrudin Jali dan Jurutera Jabatan Pengaliran dan Saliran ( JPS) Maran Nurul Wahida Mohd Nabin
Katanya, projek dengan kos RM25 juta itu akan mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di bandar berkenaan.
Katanya, selepas projek itu siap ia akan mengatasi masalah yang sering menghantui 1,280 penduduk membabitkan 360 rumah dan kedai berhampiran sungai Maran itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, selain itu JPS akan membina dua takungan air bagi mengurangkan kesan banjir khususnya pada musim tengkujuh.
Katanya, dua takungan air itu seluas 1.2 hektar di belakang Balai Polis Maran dan satu lagi, seluas empat hektar di sebelah Kompleks Rakan Muda, Maran.
Sumber: Metro https://bit.ly/2MLr4BT