JERANTUT – Pelaksanaan projek di bawah Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah Menggunakan Peruntukan Tabung Khas 2017 (PPKHAS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (TAHAP), di sini membantu meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan warga sekolah tersebut untuk menjalankan operasi harian.
Menerusi projek itu, lima skop penambahbaikan dan penyelenggaraan diluluskan iaitu pendawaian elektrik, pagar sekolah, tangki air, pencegahan anai-anai serta peralatan pencegahan kebakaran.
Pengetua SMKA TAHAP, S. Mahdzir S. Nordin berkata, kelulusan permohonan menambahbaik dan menyelenggara itu memberikan kegembiraan kepada warga sekolah berkenaan yang menantikannya sejak sekian lama.
Selain memberi keselesaan dalam pengajaran dan pembelajaran, katanya, pelaksanaan projek tersebut juga dapat menyelesaikan isu keselamatan khususnya melalui penambahbaikan pagar sekolah yang rosak.
“Saya mewakili warga sekolah mengucapkan terima kasih atas kelulusan peruntukan untuk projek ini. Pelaksanaannya akan memberikan keselesaan dan kemudahan serta jaminan keselamatan warga sekolah khususnya kira-kira 725 pelajar yang menimba ilmu di sini,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan baru-baru ini.
S. Mahdzir memberitahu, masalah kerosakan pagar menyebabkan haiwan seperti anjing dan babi sering memasuki kawasan sekolah yang boleh menjejaskan aktiviti pelajar dan mengancam keselamatan mereka.
Di samping itu, katanya, kerosakan berkenaan juga memudahkan orang luar menceroboh ke kawasan sekolah termasuk di kawasan asrama pelajar.
“Masalah pendawaian elektrik di beberapa blok bangunan sekolah pula menyebabkan banyak suis tidak dapat digunakan sehingga menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan alat bantu mengajar.
“Penyelenggaraan kerja elektrik dapat memastikan keselamatan pelajar selain semua lampu berfungsi semula sekali gus memberikan keselesaan,” ujarnya.
Tambahnya, penyelenggaraan tangki air utama diharap dapat memberi jaminan kepada bekalan air berterusan dan memastikan kualiti air yang bersih memandangkan sebelum ini tangki berkenaan sering mengalami kebocoran.
Sementara itu, Penyelia Pembangunan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut, Hamirul Abdul Hamid berkata, pada masa ini proses pelaksanaan lima skop penambahbaikan dan penyelenggaraan berkenaan berjalan lancar.
Katanya, pihaknya telah melakukan undian pemilihan kontraktor yang layak melaksanakan projek tersebut.
“Berdasarkan jadual awal, pembayaran kepada kontraktor terlibat akan diselesaikan pada Ogos ini dan projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini,” katanya.
Sumber : Utusan http://buff.ly/2qRRDbZ
Gambar : utusan.com.my