KUALA TERENGGANU – Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kuala Terengganu yang berusaha menerapkan budaya kreatif dan inovasi, mewajibkan penglibatan kalangan pelajar dalam pelbagai gerak kerja.
Galakan terhadap percambahan idea dan dapatan baru yang melibatkan kedua-dua unsur itu ternyata menyerlahkan pencapaian pelajarnya dalam persaingan di persada antarabangsa dalam beberapa siri pertandingan.
SMIYT Kuala Terengganu, salah satu rangkaian SMIYT yang berdaftar dan dilaksanakan bersama Kementerian Pendidikan merupakan sekolah elit berteraskan pengajian berkonsepkan Ulul-Albab bagi melahirkan generasi yang seimbang itu ternyata terus memahatkan sejarahnya tersendiri.
Aspirasi yang digarap bermula tahun 2005 itu menampakkan hasil lebih ketara apabila berjaya merangkul pingat emas dalam semua pertandingan inovasi yang berlangsung di lima buah negara sejak penyertaan sulung pada 2014.
Kejayaan itu menyemarakkan penerapan kreatif dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri dalam persaingan dan cabaran.
Dua kumpulan pelajar tingkatan lima melalui hasil rekacipta mereka, berpeluang mewakili negara ke pertandingan berprestij di Korea Selatan diikuti Vietnam, Taiwan, Thailand.
Yang terbaharu di European Exhibition of Creativity and Innovation (Euroinvent) 2016 di Palas Mall, Lasi, Romania pertengahan tahun lalu yang turut disertai 40 buah negara termasuk Bulgaria, Croatia, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Pencapaian itu melalui dua kumpulan inovasi iaitu pasukan Al Fateh Inventors A dengan kajian produk Dr. Duster With Green Cleaner serta Nifty Cleaner Kit dan pasukan Al Fateh Inventors B menerusi produk The Miracle of Multipurpose Soap: Novely.
Produk Dr. Duster menampilkan produk pemadam yang dilengkapi cecair organik yang berupaya memadamkan kotoran degil pada papan putih selain cermin tingkap dan lain-lain permukaan lembut dengan begitu mudah.
Produk Novely pula merupakan sejenis sabun serba guna diperbuat daripada sumber organik yang antara lain keistimewaannya mampu bertindak sebagai peluntur dan pencuci detergen bagi menanggalkan pelbagai kotoran pada sebarang permukaan selain tidak berbahaya.
Produk-produk lain yang turut dihasilkan ialah The Potential Product From Pandanus Amary Hifolius RoxB, Magical of Chanting dan Styrofoam Cutter.
Kumpulan Al Fateh Inventors A diwakili Huda Safiah Hassan, Azrol Azam Zunaini, Wan Muhammad Jannahtul Firdaus Wan Ahmad dan Nursyafiqah Zakaria manalala Al Fateh Inventors B diwakili oleh Muhammad Faris Mohd. Rafee, Afifah Mohd. Zabidi, Fatimah Azzahrah Zulkifli dan Muhammad Hafizi Hassan As’ari.
Menurut pengetuanya, Mohd. Yusoff Othman, pendekatan sekolah itu membudayakan daya kreativiti dan inovasi yang diwajibkan ke atas setiap pelajar bermula di tingkatan satu.
“Mereka melalui kumpulan masing-masing perlu memulakan penyelidikan mengikut tiga fasa itu pendedahan, penerokaan dan penghasilan produk, sebelum diketengahkan untuk pameran dan pertandingan di pelbagai peringkat.
Sementara itu, guru pembimbing, Saripah Embong pula memberitahu, sejak projek inovasi mula dilaksanakan, sebanyak 70 tajuk dihasilkan sehingga ada sebahagiannya berjaya mencuri tumpuan pihak swasta untuk dipatenkan.
“Memang sudah ada syarikat yang beri perhatian terhadap produk inovasi ini untuk dikomersialkan dan setakat ini pihak Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu sudah beri persetujuan, namun masih dalam proses rundingan,” ujarnya.
Sumber : Utusan http://buff.ly/2nDzuQm
Gambar : utusan.com.my