KUALA LUMPUR 27 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tahun kedua pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menunjukkan keberhasilan inisiatif yang signifikan secara holistik.
Keberhasilan berkenaan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
“Setelah dua tahun pelaksanaan PPPM, kita telah mula melihat keberhasilan yang signifikan secara lebih holistik berteraskan aspirasi sistem berteraskan aspirasi murid selaras dengan Falsafah Pendidikan,” kata Muhyiddin dalam ucapan pelancaran Laporan Tahunan 2014 PPPM di Kompleks Seri Bintang di sini hari ini.
Tahun kedua pelaksanaan PPPM antara lain berjaya mengurangkan sekolah-sekolah Band 6 dan 7 daripada 1.39 peratus pada 2013 kepada 0.96 peratus tahun lalu.
Manakala sekolah-sekolah Band 1 dan 2 meningkat 36.8 peratus berbanding 31 peratus tahun lalu.
Bagi program LINUS 2.0 daripada 1,313,752 murid, seramai 98.7 peratus murid Tahun 3 menguasai literasi asas Bahasa Melayu dan 99 peratus menguasai numerasi asas dan 78.3 peratus murid Tahun 2 menguasai literasi asas Bahasa Inggeris.
“Saya percaya sepanjang pelaksanaan inisiatif PPPM ini, banyak pengajaran dan pengalaman telah diperoleh dan dipelajari oleh Kementerian untuk meningkatkan lagi usaha.
“Melangkah ke akhir Gelombang 1 tidak bermakna kita boleh memperlahankan rentak kerja. Malahan kita perlu berusaha dengan lebih gigih dan memberi komited padu bagi memastikan pencapaian secara berterusan setiap inisiatif transformasi yang telah dirancang,” tegas Muhyiddin.
Gelombang pertama perlaksanaan PPPM bermula pada 2013 hingga 2015.
Muhyiddin berkata, peningkatan kompetensi guru Bahasa Inggeris juga telah diteruskan dalam PPPM.
“Seramai 10,502 guru Bahasa Inggeris telah dilatih semula di bawah Programme for English Language Teachers atau ProELT.
“Usaha yang lebih berfokus untuk mempertingkatkan profisiensi Bahasa Inggeris dilaksanakan dengan mengenal pasti 1,191 sekolah hotspot Bahasa Inggeris iaitu sekolah yang berada di bawah purata kebangsaan untuk markah lulus Bahasa Inggeris,” kata Muhyiddin.
Sumber : Utusan http://buff.ly/1LMAKai
Gambar : cgkaunseling.blogspot.com