PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan tiga kementerian untuk merangka pelan tindakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang sepadu bagi membantu melonjak negara ke tahap maju.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dapat menggembleng tenaga untuk merangka pelan itu dan melaporkan ke mesyuarat Majlis Sains Negara yang akan datang.

“Kita juga sedia maklum bidang STEM adalah penting untuk membantu melonjak negara ke tahap negara maju. Ini adalah juga unsur yang penting dalam ‘Science to Action (S2A) (Sains Untuk Tindakan).

“Kita juga sedar penguasaan kita dalam bidang ini masih boleh dipertingkatkan lagi,” katanya pada mesyuarat pertama Majlis Sains Negara di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Najib berkata output saintifik bagi Malaysia telah meningkat sebanyak 28 peratus setahun, antara yang tertinggi di dunia dan merupakan petanda baik kepada negara.

Mengambil contoh tiga orang saintis negara yang mendapat pengiktirafan daripada agensi perkhidmatan penarafan indeks saintifik dunia, Thomson Reuters, Perdana Menteri berharap lebih ramai lagi saintis negara menjalankan kajian dan membuat penulisan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Najib turut meminta agar penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan sewajarnya dikaitkan balik dengan realiti di Malaysia serta relevan kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, katanya, penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan menyediakan akses pasaran antarabangsa dan akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan dengan itu, Najib mencadangkan agar majlis itu melalui Akademi Sains Malaysia dan Majlis Profesor Negara untuk menggubal mekanisme bagi mengenal pasti peluang pewujudan industri-industri baharu yang berpaksikan Sains dan Teknologi.

“Di samping itu, mekanisme ini diharap dapat membantu mengukuhkan modal insan dengan kerjasama ahli-ahli ekonomi,” katanya.

Najib berkata penggunaan Sains, Teknologi dan Inovasi adalah amat penting dalam mencegah bencana seperti banjir besar, gempa bumi, jerebu dan wabak denggi dan menangani masalah secara bijak serta berkesan, katanya.

“Saya difahamkan satu kajian oleh Kumpulan Kerja Teknikal dan Pakar bagi Pengurangan Risiko Bencana yang diterajui oleh Penasihat Sains akan dibentang pada mesyuarat kedua Majlis Sains Negara.

“Ia sejajar dengan saranan saya kepada penasihat sains bagi negara Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) baru-baru ini untuk mencari penyelesaian terhadap masalah jerebu yang melanda rantau ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *