KEMAMAN – ‘Mereka sepatutnya ke kiri, saya pula yang suruh ke kanan,’ kata Muhammad Aliff Ikhwan Hanizam, 16, berkongsi pengalaman memalukan sewaktu dihampiri oleh sekumpulan pelancong asing tiga tahun lalu.
Kelemahan kosa kata bahasa Inggeris menyebabkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, Kuala Nerus itu banyak kali tersasul sehingga tersilap memberi tunjuk arah kepada pelancong sekali gus membuatkannya serik untuk berbahasa Inggeris.
Bagaimanapun situasi itu berubah apabila sekolahnya terpilih sebagai salah sebuah sekolah yang menyertai Program Transforming English in Terengganu (Trenglish) yang merupakan satu kolaborasi antara kerajaan negeri, Yayasan Terengganu (YT), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Petronas.
Aliff berkata, dia nekad untuk meningkatkan kemahirannya ketika menyertai program itu pada 2016 sejajar dengan objektif program untuk menyemai minat dan memperkasakan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negeri ini.
“Trenglish bukan seperti proses pembelajaran dalam bilik darjah yang biasa tetapi ianya lebih kepada gabungan aktiviti berinformasi yang membantu kepada peningkatan keyakinan berkomunikasi,” katanya.
Pelajar SMK Bukit Tunggal, Nurul Sakinah Saadah Mohd Zanuddin,14, mengakui turut merasai manfaat serupa kerana semenjak mengikuti program Trenglish di sekolahnya, keyakinannya untuk berbahasa Inggeris semakin meningkat.
“Menyertai program ini sejak 2017, saya pernah mendapat naib johan mendeklamasi sajak bahasa Inggeris peringkat daerah Kuala Nerus.
“Ini berkat daripada bimbingan berterusan fasilitator Trenglish Sekolah yang juga dipanggil T-Help atau ‘Terengganu Hired English Language Personnel’ kerana keyakinan saya semakin meningkat dan berjaya mewakili Kuala Nerus dan seterusnya diumumkan Naib Johan deklamasi sajak bahasa Inggeris peringkat negeri Terengganu pada Julai yang lalu,” katanya.
Di dalam pertandingan Pentathlon sekolah-sekolah Trenglish yang diadakan di Asrama YT Kemaman, Aliff dan Sakinah turut membantu pasukan SMK Bukit Tunggal hingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan apabila memenangi tiga daripada lima acara yang dipertandingkan iaitu membaca sajak, bercerita dan debat Bahasa Inggeris.
Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, Petronas menyokong penuh usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri.
“Petronas telah membelanjakan lebih daripada RM1.3 juta untuk menyokong program Trenglish semenjak 2015. Sumbangan tersebut adalah dalam bentuk penajaan kepada aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh T-Help di sekolah seperti elaun bantuan aktiviti, alat kelengkapan, penggunaan akhbar dalam bilik darjah dan penerbitan majalah Trenglish sebagai bahan bacaan sokongan pembelajaran,” katanya.
Petronas turut menaja acara tahunan peringkat negeri iaitu Mega Trenglish Camp sebagai pelengkap kepada kem-kem bahasa Inggeris di peringkat sekolah dan Parlimen yang mengumpulkan sekolah-sekolah berkenaan dalam skala yang lebih besar.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah YT, Rasli Mohamad berkata, Trenglish kini telah dijalankan di 40 buah sekolah menengah dan 10 buah sekolah rendah terpilih dari lapan buah daerah di Terengganu.
Sumber: Sinar Online