KANGAR — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneroka bidang akuakultur melalui projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) ikan air tawar jenis Jade Perch atau ikan puyu Australia.
Naib Canselornya, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata hasil pertama projek tersebut diberi nama Puyu Kukum dijangka memasuki pasaran pada Januari tahun depan.
Katanya projek itu bermula Mac lepas dibuat bagi memenuhi keperluan industri oleh Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) iaitu unit yang bertanggungjawab terhadap industri pertanian UniMAP.
Katanya penyelidikan dijalankan dengan kerjasama Tunjang Induk Sdn Bhd (TISB), syarikat milik alumni UniMAP yang menyumbang aset seperti bangunan penetasan dan tangki ikan untuk kegunaan penyelidikan.
Beliau berkata R&D itu dilakukan dalam empat tangki dan dikendalikan oleh Prof Dr Ridzwan Abdul Rahman yang berpengalaman luas dalam bidang penyelidikan akuakultur.
Jumlah ikan yang dihasilkan pula bergantung kepada suhu air dan pengudaraan yang mempengaruhi kadar metabolisme ikan, kata Kamarudin dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya penyelidikan tersebut turut menggunakan air berkemasinan tinggi khusus bagi membantu merawat ektoparasit dan penyakit kulat yang menjangkiti ikan.
Nama Puyu Kukum dikemukakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Idris Jusoh semasa membuat lawatan kerja ke Kampus UniMAP Uniciti Alam di Padang Besar, Sabtu lepas.
Menurut Kamarudin penternakan Jade Perch di Malaysia bermula pada 2010 namun tiada maklumat lengkap mengenainya malah spesies itu tidak difahami oleh penternak di negara ini menyebabkan UniMAP dan TISB bersepakat membangunkan satu sistem akuakultur untuk menternaknya.
“Spesis ini padat dengan isi dan berpotensi dikomersialkan kerana kadar tumbesarannya cepat, daya tahan terhadap penyakit amat tinggi di samping kandungan Omega-3 juga sangat tinggi,” tambahnya.
Sumber: BERNAMA
UniMAP Terokai Bidang Ternakan Ikan Puyu
